Thursday, June 18, 2009

Sokongan Bermusim ?

Liga kembali bersambung minggu ini setelah berehat seketika untuk memenuhi syarat tuntutan pusingan pertama kalendar Liga Malaysia. Saingan masih berbaki 7 perlawanan , destinasi hujung pangkalnya belum menampakkan dimana Hijau Kuning bakal terhenti.


Semboyan persaingan merebut takhta masih berkibar megah walaupun jurang mata kian membesar untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu. Perhitungan di atas kertas seolah-olah agak merumitkan walaupun peluang masih terbuka luas. Perjalanan liga musim ini tiada sebarang fakta menarik yang mampu dicoretkan walaupun tragedi banyak menghiasi cerita bolasepak Malaysia.


Musim percubaan serba tempatan 2009 telah membuktikan ketumpulan rangkaian setiap penyerang pasukan Liga Malaysia apabila statistik penjaring masih dibawah 10 gol. Walaupun dominasi senarai panjang adalah nama pemain tempatan tetapi kualiti penyerang tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Kualiti persembahan liga juga kurang memuaskan untuk dinilai sebagai professional kejohanan liga bolasepak tempatan.


Peminat juga seolah-olah sudah memahami situasi dan keadaan perjalanan Liga Malaysia sejak keputusan awal di umumkan. Majoriti setiap perlawanan Liga dibawah 10 ribu penonton walaupun sesetengah pasukan masih mempunyai penyokong yang tinggi. Kelantan salah satu pasukan yang boleh menarik nafas lega apabila sokongan kembali bergema di Stadium Sultan Mohamaad ke IV. Stadium lain masih ditakuk lama begitu juga panoramanya di Stadium Darulaman.


Kemeriahan lalu kini sepi dibawa bersama kegemilangan 2 musim lalu. Kehadiran peminat saban minggu adalah bukti sokongan peminat Hijau Kuning yang cintakan pasukan dan bolasepak Negeri Kedah Darulaman. Majoriti yang lain masih mengharapkan suatu bentuk hiburan sebagai cagaran apabila bertandang ke Darulaman. Fenomena ini sudah pasti berlarutan ke penghujung musim, peningkatan penonton bergantung kepada keputusan dan kedudukan pasukan Kedah selepas ini.


Piala Malaysia adalah medan terakhir musim ini untuk kembali mengamit peminat ke Darulaman, segalanya masih berkemungkinan apabila kemeriahan lalu bersandarkan tradisi dan kegemilangan kejohanan ini. Mood mereka sukar di jangka musim ini kerana kedudukan pasukan Kedah tidaklah seteruk yang di perkatakan. Corak persembahan masih ditahap memuaskan serta masih mengekalkan rekod kemenangan 6 perlawanan , 2 seri dan tewas sebanyak 2 kali.


Seperti mana bertukarnya perubahan cuaca Malaysia yang berada di garisan Khatulistiwa , begitu jugalah mood bermusim penyokong Kedah selepas ini. Tiada teori sahih bagi menentukan tahap sokongan penonton yang bertandang ke Stadium Darulaman setiap perlawanan. Lupakan ehsan keringat mereka bagi meraih sokongan asalkan momentum pasukan masih dapat di kekalkan.


Kemana hilangnya aura sepenuh hati yang mengalir ditubuh ini apabila tibanya hari perlawanan.
( Aura Ketaq Kaki , Badan masih di sisi , Hati sudah lama sampai di Stadium , masa dirasakan terlalu lewat untuk menanti penentuan 90 minit saban minggu )




p/s : Blog ini juga bermusim ? ekekeke

No comments:

Post a Comment