Rumah dah siap, pahat masih berbunyi ? Nila setitik rosak susu sebelangga ? Menang Sorak Kampung Tergadai ? Begitulah pelbagai peribahasa dan tohmahan melulu peminat bolasepak Malaysia kepada segolongan minoriti peminat bolasepak Kelantan dek sifat ‘gedebe’ mereka. Kemuncak ‘kejuaraan’ yang ditonjolkan mereka dalam perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil telah mengaibkan pentas bolasepak Malaysia.
Benarkah mereka ini ‘hooligan’ serta bersifat fanatik terhadap bolasepak ? Kebangkitan bala tentera merah ini mungkin ada pro dan kontranya. Kain rentang sudah dikoyak, mercun sudah pun dilempar apatah lagi kerusi usang stadium jua turut dibakar. Pencapaian terbaik mereka membakar sebuah kenderaan pacuan 4 roda milik Polis Diraja Malaysia. Sebahagian daripada rekod keganasan terlampau pasukan Cik Siti Wan Kembang.
Jika dilihat dari sudut lain, gelombang kebangkitan mereka sukar dibendung lagi oleh mana-mana pihak. Media memberikan liputan yang cukup meluas kepada The Red Warrior dalam kempen Piala Malaysia. Lihatlah bagaimana akhbar memberikan liputan, stesen Radio dan TV mewujudkan segmen khas sempena perlawanan akhir piala Malaysia. Dimana kemegahan kita sebelum ini yang pernah menjulang 3 piala bagi 2 musim berturut-turut. Adakah mendapat liputan yang sebegitu rupa ?
Rakyat mahupun peminat Kelantan cukup sukar untuk mengubah perangai dan tingkah laku mereka yang selama ini telah dibentuk dengan cara dan adat budaya zaman berzaman. Faktor sosio ekonomi dan cara hidup di Kelantan membentuk suatu komuniti masyarakat sedemikian rupa. Maka tidak janggal jika sikap ganas yang ditonjolkan sebelum ini menjadi paparan media massa. Sifat kenegerian ini cukup berbeza dengan cara dan budaya peminat kita terutama Kedah , Selangor mahupun negeri adat pepatih sendiri. Biarkanlah mereka terjun dengan labu-labunya kerana si luncai tetap dengan pendirian mereka.
Apa yang turut dikesalkan juga adalah mentaliti kita sendiri yang sering menuding jari kesalahan orang lain walaupun kita juga sebegitu rupa. Musim lalu kita mengatakan peminat Selangor masih bermegah-megah dengan kejayaan lampau mereka. Kita melemparkan pelbagai andaian walaupun sejarah telah lama tersimpan dek kejaguhan Red Giant di zaman lampau. Kini giliran kita bermegah-megah dan sering menjaja cerita saban hari kejuaraan berganda musim penuh bermakna. Adakah kita juga sebenarnya bersikap serupa ? Apa bezanya ? Melonjak riang ketika Selangor gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir serta mencipta treble lebih bermakna.
Janganlah terlalu menyalahkan orang lain demi memuaskan kehendak hati sendiri yang terluka lara. Kejayaan lampau Selangor dan kebangkitan gelombang tentera merah pantai timur musim ini. Apakah persiapan kita untuk musim mendatang, masih terawang-awang dengan kenangan terindah berkampung 2 musim di Bukit Jalil. Jika Kelantan masih gagal menamatkan badi 39 tahun layak ke perlawanan akhir dan 61 tahun kemarau pasukan negeri menjulang piala, mungkinkah Kedah juga hanya akan kekal dengan kejuaraan treble itu untuk kesekian kalinya.
Dulang cuma satu walaupun paku yang digunakan silih berganti mengetuknya. Apa yang dinyatakan penyanyi bersuara sumbang ketika menyanyikan lagu negaraku dalam final 4 musim lalu totap ‘biso bonar’ . Jangan terus membiarkan diri anda dibelenggu sifat menyalahkan orang lain dek kelemahan pasukan sendiri. Eh jang !! Ekau pikir la sendiri .. sampai bilo nak mengetuk dulang orang lain .

