Monday, October 5, 2009

Saya Sayang Bolasepak Malaysia ?



Sultan Ahmad Shah paling sayangkan bolasepak Malaysia. B Sathianathan jugak teramat-amat sayangkan bolasepak Malaysia. Sheeby Sigh juga sayang bolasepak Malaysia. Redhuan Abdullah juga individu malang yang sayangkan bolasepak Malaysia. Begitu jugalah kita yang bukan saja sayangkan bolasepak Malaysia tetapi masih tercari-cari bahang kenikmatan seni bolasepak Malaysia.


Tidak hairanlah kenapa nama-nama individu diatas sukar melepaskan segala tampuk kuasa yang menguasai diri mereka selama ini. Semuanya bercakap dengan alasan yang serupa ‘ Saya Sayang Bolasepak Malaysia. Jika mereka dijadikan perbandingan semasa , sudah pasti masih terdapat individu lain yang bercakap perkara yang sama.


Siapa pula ‘ The Worst Of The Lot ‘ dalam konflik pasukan Hijau Kuning ketika ini ? Pasukan lain sedang berkira-kira untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia edisi 2009. Kedah pula masih bergelut dengan masalah dalaman dan ketumpulan jentera serangan. Isu ini bukan baru bagi peminat yang selalu mengikuti perkembangan pasukan Hijau Kuning musim ini. Kelemahan inilah yang membawa pasukan Juara berganda 2 musim lalu dinobatkan pasukan tempat ketiga dalam saingan Liga Super 2009.


Hari ini media menyelongkar isi perut yang melanda persatuan Bolasepak Kedah ( KFA ) serta pasukan Kedah sendiri. Isu tidak sehaluan dijadikan penanda aras kemerosotan prestasi dalam saingan Piala Malaysia. Puak manakah yang bertelagah serta dijadikan punca segala permasalahan ini ? Adakah puak-puak ini tergolong dalam ‘ Saya Sayang Bolasepak Malaysia ? ‘. Bagi peminat seperti saya, perkiraan utama cukup mudah sebenarnya, 11 pemain ditengah padang memberikan komitmen terbaik sambil mampu mencipta jaringan untuk di nobatkan selaku pemenang perlawanan sudah memadai.



Apakah isu Wang KWSP tidak berbayar menjadi beban peminat untuk di fikirkan. Kegagalan mendapat pemain pinjaman di jadikan faktor kelemahan pasukan untuk menyerlah. Persiapan tidak mencukupi akibat dana tidak diperuntukan untuk memantapkan pasukan, masalah persefahaman antara pemain di awal musim punca kemorosotan ? Berat juga beban peminat rupa-rupanya sebelum melahirkan sokongan kepada pasukan. Ingatkan semudah membeli tiket berharga RM7.00 sambil menikmati tempoh perlawanan 90 minit di tengah padang.


Keindahan musim lalu juga penuh dengan onak duri cabarannya sebelum menjulang piala tetapi biarlah ruang kelemahan itu ditutup dengan serapat-rapatnya agar ianya tidak menganggu kenikmatan mengecapi 3 piala. Musim ini sebaliknya apabila kebahagian 2 tahun lalu tidak berulang lagi. Sekiranya masing-masing mengakui kelemahan diri sendri, sudah pasti tragedi malang ini tidak semerbak wangi sebegini.


Masing-masing punya kesimpulan sendiri untuk mentafsir apa juga santapan hidangan negatif yang telah memalit duka pasukan Hijau Kuning selama ini. Jika dahulu ungkapan ‘cemuih’ menjadi bahana diri sendiri, kini ianya sudah sebati dijiwa penyokong Kenari. Saya tidak akan memangkuk hayunkan sesiapa disini . Saya juga berjanji tidak akan membuka pekung kelemahan yang sudah sekian lama diketahui. Andaian si dia semakin tepat tetapi biarlah mereka di anggap ‘cream of the cream ‘ yang mewarnai pesada bolasepak Negeri Kedah abad ini.


Bersambung ….10 dalil kegagalan Hijau Kuning musim 2009.

Thursday, October 1, 2009

Serangan Charlie




Beginilah nasib saya ketika ini apabila serangga bernama Charlie atau nama saintifiknya Paederus fuscipes Curtis menyerang buat kali ke 2 dalam tempoh 3 bulan. Serangan pertama pada awal Ogos telah melukakan banyak tempat di kawasan badan saya. Air bisa dari perutnya cukup membuatkan anda gundah gelana selama seminggu, penangannya mengalahkan serangan chicken pox yang biasa dihadapai anda.

Perit lagi menyakitkan setiap malam untuk menunggu bisanya benar-benar kering pada kulit. Hanya ubat sapu diberikan oleh doctor sebagai penghalang luka . Hari pertama bila terkena serangan Charlie ini, kulit anda bakal kemerah-merahan sehinggalah keesokan harinya kulit akan mengelupas hingga terbentuk tompokan air bisa di kulit. Tempoh bertenang mengambil masa sehingga 1 minggu untuk ianya benar-benar sembuh dan baik.

Apa yang mendukacitakan sudah pasti bekas parut yang ditinggalkan mengambil masa berbulan-bulan untuk kulit kembali seperti biasa. Agak menyedihkan sudah pasti serangan serangga Charlie ini tidak mengenal tempat di mana-mana kawasan permukaan kulit anda. Serangan terhadap saya telah menyerang leher, dada , pinggang dan sekitar kawasan paha. Nasib baik la ianya tidak menyerang muka ataupun permukaan sulit kita.. hahahaha ..



Selamat mengenali serangga bernama Charlie bagi mereka yang tidak mengenalinya. Orang kampung saya memanggilnya ‘ Wahid ‘ yang merujuk kepada serangga yang serupa.

# Terdapat sebilangan blogger lain yang turut meluahkan rasa kecewa sepertimana saya. Sesiapa yang ingin merasai pengalaman di serang serangga ini, bolehlah berkunjung ke rumah saya pada bila-bila masa.. hahahaha

Si Mangkuk Hayun


Si Mangkuk Hayun adalah satu gelaran kepada individu tertentu untuk menunjukkan tahap kebodohan yang terlampau. Kebodohan seseorang sukar untuk dinilai atau diukur dengan mata kepala kita sendiri tetapi cukup mudah untuk seseorang itu mengelarkan individu lain sebagai ‘mangkuk hayun ‘.


Beginilah situasi ketika ini di satu laman ruang sembang itu , sikap memangkuk hayunkan orang lain kembali menjadi medan perdebatan semasa. Tiada siapa yang menang , tiada siapa yang sanggup mengaku kalah . Maka berdendanglah seumpama ‘ cerita kedai kopi ..tiada hakim tiada saksi ..cerita sensasi di kedai kopi’ nyanyian Maligue Too Phat.


Disini pula adalah ruang aku sendiri tetapi masih belum bebas sepenuhnya untuk melontarkan apa jua bahan cerita mahupun pendapat peribadi sanggahan semasa. Jika mata yang melihat mampu memerahkan telinga sudah pasti hati terasa bahang kepanasannya.


Walau 1001 dalil di tonjolkan sekalipun , sudah pasti akan ada alas an ciptaan mereka sendiri. Bersuaralah apa isu sekalipun baik sifat individu yang di katakan EGO oleh sesetengah pihak mahupun perdebatan corak yang mewarnai pentas semasa. Anda pasti bakal di mangkuk hayunkan oleh mereka. Kebodohan yang dilabel mungkin disebabkan anda sememangnya tidak memahami sesuatu perkara atau sesungguhnya anda benar-benar tidak tahu apa yang berlaku. Maka jalan selamat sudah tentu anda memutuskan untuk berdiam diri seketika.


Jangan sesekali menguburkan minat anda selama ini walaupun saluran sedia ada gagal memuaskan hati anda. Kembalilah seperti biasa kerana putaran roda yang dijanjikan sebelum ini telah berputar tepat pada masa dan ketikanya. Anda bukan ‘Si Mangkuk Hayun’yang disangka tetapi tafsiran anda disalahertikan mereka. Pendekatan peminat haruslah berpaksikan kepada faktor-faktor luaran yang disertakan mereka. Rupa-rupanya peminat perlu mematuhi kod etika tertentu sebelum melahirkan sokongan kepada sesuatu perkara.


Janggal bagi kita tetapi acuan ini sudah terbentuk oleh mereka untuk memastikan setiap satu perkara ada sebab dan musababnya. Maka simpan ajalah kudrat sorakan bertenaga anda kerana ketika ini angin kesedihan sahaja yang melanda di jiwa.

Oh yaa .. jangan tinggalkan komen anda disini kerana ...ermm erm ermm ..anda bijak menilai sesuatu perkara..