Sunday, July 19, 2009

Suka Tapi Malas


Suka membaca tetapi agak malas untuk mencoretkan sesuatu sejak kebelakangan ini, lagipun terlalu sibuk dengan urusan pemindahan ke rumah sendiri. Minggu-minggu terakhir sebelum melangkah masuk ke rumah sendiri walaupun tidak sebesar dan seluas mereka di luar sana.


Dalam kesibukan menyiapkan kerja-kerja akhir dalam penambahbaikan rumah semalam , sempat jua menonton perlawanan bolasepak pilihan Malaysia XI menentang Manchester United. Walaupun keinginan telah lama wujud untuk bersama-sama ribuan penyokong Setan Merah di luar sana , masa sekali lagi membataskan niat saya. Cukuplah menjadi pemerhati tetap di warung mamak petang semalam. Masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan siaran secara langsung itu berbanding 80 ribu yang setia menunggu di Bukit Jalil sana.


Perlawanan yang memenuhi keperluan awal sebagai Asia Tour untuk Manchester United sebagai ucapan terima kasih mereka kepada peminat di Malaysia. Pelbagai ulasan dilontarkan di laman portal masing-masing tidak mengubah keputusan Sir Alex Ferguson membawa anak-anak buahnya ke Malaysia. Keputusan perlawanan adalah sebahagian dari babak-babak cerita. Pasukan Kebangsaan sendiri adalah pelengkap kepada persediaan untuk melayan kunjungan mereka.


Bercerita panjang lebar soal patriotik mahupun taktikal yang direncanakan oleh K Rajagobal juga seolah-olah membuang banyak masa. Itu cuma babak-babak yang memenuhi kepuasan mereka dan standard hiburan sukan bolasepak semata-mata. Mereka berhak menerima pujian di atas kesungguhan 90 minit di atas padang permainan sambil Amri Yahya menjadi pujaan serta merta. Bersyukurlah apabila dia menjadi orang penting dan bualan mulut peminat bolasepak Malaysia.


Esok Manchester United bakal berentap semula ? Walau apapun keputusannya tidak mengubah tanggapan pertama saya sejak mereka menghebahkan kedatangan ke Malaysia. Indahnya Malaysia mendapat peluang kedua diatas kekacauan di negara jiran kita walaupun rangking bolasepak kita jauh ketara untuk di perdebatkan semua.






p/s : Blog ini juga bakal bertukar tema … sekadar catatan biasa tanpa coretan keluh kesah jiwa bolasepak Hijau Kuning lagi selepas ini.