Thursday, May 28, 2009

BUKAN SEKADAR ADIK ??


2004

Liga Super : Kedah 0-1 Perlis
Liga Super : Perlis 6-3 Kedah
Liga Super : Perlis 4-0 Kedah
Piala Malaysia : Perlis 1-0 Kedah


2005

tiada pertemuan


2006

tiada pertemuan


2007

Liga Super : Perlis 1-1 Kedah
Liga Super : Kedah 1-0 Perlis
Piala FA : Perlis 2-4 Kedah ( final )


2008

Liga Super : Kedah 0-0 Perlis ( sumbangsih 4:5 )
Liga Super : Perlis 1-0 Kedah


2009

Liga Super : Perlis 1-0 Kedah




Berapa kali KEDAH menang sejak pertemuan dari tahun 2004 ..??? Ingat Syafik Jamal ..??? Ingat turning point Juara Treble 2007 ?? Ingat bola baling Andrian Jurat ?? Ingat K Soley ?? Ingat gol last minit Fazliata di Kangar ?? Ingat Bola ...Ingat RTM ?? Live ..??? Hermmmm ...... jangan ketepikan luahan rasa mereka .... biarkan suara itu merancakkan suasana ... sampai bila penafian melalui Kuasa ???

Saya hilang minat bukan kerana tiada rasa jati diri , tetapi santapan mata untuk melihat aksi permainan bolasepak negeri sendiri sudah terkulai lesu tanpa cabaran tertinggi. Laungan keyakinan kepada pasukan sendiri semakin hilang hari demi hari. Mereka tidak langsung menampakkan semangat juang untuk menabur bakti.

Fikiran melayang terfikirkan kerajaan lama di bawah pengurusan yang tidak henti-henti dibenci di hentam dan di maki. Tuanku Sultan tidak lagi kelihatan di kawasan VVIP untuk melihat anak-anak Jelapang Padi mengerah keringat untuk mengharumkan nama negeri. Pembukaan Liga Super terdahulu adalah kali terakhir kelibat tuanku kelihatan di sana. Semangat motivasi tertinggi yang menjadi santapan hiburan tuanku selaku peminat NO 1 yang tidak jemu-jemu bertandang ke Stadium Darulaman bukan lagi agenda Sang Kenari.

Adakah masih wujud pergolakan secara senyap di antara pemain selama ini , mereka di lihat seolah-olah robot yang bermain tanpa jiwa dan hati. Letih dan lesu cuma alasan kolot untuk menutup kelemahan sendiri. Tidak salah jika penyokong sendiri mempertikaikan kekalahan sebegini, jauh sekali mengagungkan pemain luar yang pernah bergurau senda selama ini.

Dia berazam tinggi kerana setiap kali sebelum sepak mula di gelanggang malam hari, sudah pasti saya bertanyakan ramalan dan peluang untuk memenangi perlawanan sebelum ni. Kini ianya kenangan lalu yang tidak mungkin dapat di kongsi lagi. Kemelut ini membawa bencana tersendiri kerana hubungan sementara itu bukan untuk menjaga reputasi dan ego individu tertentu dengan maruah negeri di pertaruhkan setiap kali beraksi.


Kekecewaan ini pasti berlarutan , bukan menidakkan keupayaan pasukan sendiri , jauh sekali untuk membenci. Sokongan yang di laungkan bukan membuta tuli, wujud perbezaan sokongan untuk nama negeri tanpa melihat kualiti persembahan bolasepak yang menjadi hobi untuk digemari. Mereka terlalu memujuk hati sedangkan realiti terpapar di depan mata tanpa paksaan sesiapa. Kenapa perlu bersikap begitu ?


Kita bakal terjerat dengan konflik ciptaan slogan momokan mereka tanpa mencari bukti. Baki saingan tidak lagi mengamit majoriti untuk memenuhi ruang yang pernah mereka melonjak gembira riang dengan kerelaan hati.


Oh Kedah ..
Jangan di layan diriku lagi ..
pabila ...
ayaq mata membasahi pipi ..
dan surat-surat khabaq kosmo ..
seolah-olah memerli aku ...
pabila ..
kau main macam lain ..

Adakah kekalahan ini sebenarnya letih ..
yang masih badi hari tu ..
di sebalik senyumanmu itu ..
sebenarnya aku naik jemu ...

Ku enggan ..
berpura-pura tak sokong ..
Ku enggan ...
melihat Kedah tersungkoq ..

Oh ..
Ku akui cemburu telah menular dalam diri ini ..



Saturday, May 23, 2009

LEBIH BAIK BUKAN TERBAIK !!!!

Terima kasih kepada dua-dua pasukan kerana menyajikan satu perlawanan yang menarik dan cukup menghiburkan. Inilah baru di namakan seni bolasepak apabila wujud unsur-unsur dramatik , cemas , suka dan duka di tonjolkan dalam 90 minit perlawanan.


Kekalahan memang memeritkan bagi menafikan hak sokongan kepada pasukan yang tewas. Kekalahan sebegini bukan lagi masanya menuding jari kepada salah seorang pemain di atas padang walaupun keringat yang dicurahkan tidak memadai untuk meraih kemenangan berharga. Apa yang boleh diharapkan dari pasukan sendiri apabila percubaan tepat ke arah gol lawan kurang daripada 15 cubaan tepat ? 3 jaringan lawan bukan kekurangan selaku benteng terakhir pasukan yang dirumuskan sebagai bermain dalam keadaan baik. Jurang ini adalah kelemahan kita sendiri apabila hukum permainan ditentukan sebegini.

Sedikit kecuaian ,pengalaman dan taktikal lawan memanipulasikan kelemahan KEDAH adalah FAKTOR KEKALAHAN.


Kekecewaan ini tidak se-perit kekalahan terdahulu bertemu Kelantan di laman sendiri. Kekalahan ini tetap mengajar sesuatu yang bererti kepada seluruh pasukan dan penyokong yang menyaksikan keaiban gagal ditebus lagi. Mencipta alasan kekalahan di atas faktor '3 budak keletihan ' juga tidak mencerminkan keadaan sebenar pasukan. Bukan KEDAH sahaja terlibat dalam perlawanan malam tadi sedangkan rakan sepelatih lain turut merasai tempias keletihan aksi tanpa rehat yang mencukupi. Adakah Perlis tewas disebabkan faktor ini ? Bagaimana kudrat si kembar negeri mampu melanyak si harimau kumbang yang liat untuk kita ratah sebelum ini ?


Lupakan seketika alasan ciptaan sendiri kerana EGO telah lama menguasai diri . Kesilapan yang ingin ditebus gagal di kotakan janji akibat masih terperangkap dengan kejayaan lampau sandaran tanpa realiti. Terima kasih kerana membantu 'kami' menguatkan hujah dan tohmahan luar bahawa kejayaan ini bukan seorang diri.


Sisa yang berbaki haruslah di tumpukan kepada sasaran yang lebih REALISTIK dan hampir pasti. Jangan biarkan 'mereka' terus berduka membawa diri kerana perjuangan ini berlandaskan matlamat atas nama NEGERI JELAPANG PADI. Insyaallah , isyarat peminat no 1 pasukan negeri bakal terbuka pintu hati untuk melihat anak-anak negeri berjuang menabur bakti.


Resepi itu sudah tidak lagi enak untuk ditatap Gergasi apabila mereka menganggapnya sudah basi. Maafkan 'kami' jika teguran ini tercuit rasa di hati.

Friday, May 15, 2009

PENANGAN 'CEMUIH ' ??



Kata-kata gurauan dan sindiran bersama rakan sekepala di HKC sejak sebulan lalu kini mengambil perhatian kebanyakan daripada mereka. Adakah perkataan ini mempengaruhi mood sebilangan yang tegar itu untuk menafikan makna sebenarnya.

'Cemuih' adalah bahasa loghat yang sering diguna pakai masyarakat utara Semenanjung Malaysia , tidak kiralah samada Perlis , Kedah ataupun sebahagian Utara Perak. Bosan, Jemu, Muak, Majal dan dsb adalah makna sebenar disebalik perkataan cemuih yang di tuturkan orang sebelah utara.

Tahukah anda bagaimana mood 'cemuih' ini menyerap ke sanubari anda ? Perasaan yang hadir apabila hati anda tidak dapat menerima sesuatu yang lebih baik dan menyeronokkan. Adakah perasaan ini tidak boleh diluahkan dan diceritakan kepada umum ? Janggal dan pelik bagi sesetengah orang tidak dapat menerima ‘perkataan ‘ keramat ini.

Perbezaan yang ketara ketika ini adalah tanggapan dan tafsiran sesetengah mereka yang gagal untuk membaca kehendak diri sendiri. Mereka sanggup menipu diri sendiri semata-mata untuk memuaskan hati orang lain. Kenapa tidak jujur kepada diri sendiri ? Adakah bakal melukakan sebelah pihak yang lain? Kunci mulut , pekakkan telinga dan tutupkan mata untuk melihat realiti yang terpampang saban hari di pertontonkan dengan hati yang terpaksa.

Mereka jugalah sebenarnya yang mencorakkan ‘keriangan dan kesedihan ‘ tanpa di kawal dan diselia oleh sesiapa. Kini segalanya bagaikan hilang arah tuju apabila perbandingan lalu di ambil kira untuk melihat taraf kualiti yang sedia ada. Kegagalan menilai dan menerima pendapat orang lain adalah garis pemisah sebenar wabak ini berlaku .

Hakikatnya saban hari , wabak ini telah meresapi setiap orang yang pernah mengunjungi di sana. Nisbah 1:10 orang adalah statistik yang tidak rasmi setiap minggu bagi mereka. Jangan sesekali menuding jari jika diri sendiri terperangkap dengan wabak yang serupa.Kemana mereka menghilangkan diri agaknya, nama-nama popular yang sering mencoretkan sesuatu untuk tatapan minda bersama.

Hati kecil tetap mengharapkan bakal ada perubahan yang ketara selepas ini. Mood ini bakal bertukar ceria apabila wabak ini beransur hilang ditelan masa. Suka gembira telah lama dirasa , kesedihan juga telah menimpa , kebosanan adalah sebahagian lumrah kehidupan manusia. Maafkan saya jika perkataan ‘cemuih’ membawa gelombang perpecahan keharmonian yang telah lama terbina di suatu ketika.

Wednesday, May 6, 2009

CRYPTICALLY GAMES ?



Jangan mudah melenting jika anda masih terpinga-pinga untuk mengetahui cerita hujung pangkalnya. Sememangnya permainan yang menguji ketahanan minda dalam mengatur strategi ini memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi. Sampai masa checkmate jua setiap langkah-langkahnya. Sejauh mana kepakarannya menyusun atur buah catur di atas papan ini bakal tersingkap jua.

Dia adalah 'Raja' yang dilindungi setiap gerak dan langkah oleh 'Queen' yang amat setia. Dia juga memiliki 2 orang 'Rooks' , 2 orang 'Bishops' , 2 orang 'Knights' dan 8 orang anak buah 'Pawns' yang sentiasa patuh menerima arahannya. Rekod sebelum ini memihak kepadanya dengan pergerakan buah catur yang begitu mudah apabila setiap anak buah bergerak dengan lancar dan sempurna.

Permainan kali ini masih serupa tetapi bertukar warna daripada putih kepada hitamnya. Buah-buah catur ini masih penuh di papan permainan walaupun sesetengah Pawns terpaksa di korbankan demi memenuhi naluri dan gelodak nafsu bergelar Juara. Agak janggal jika memenangi permainan ini tanpa mengorbankan anak-anak buah yang setia. Ini adalah hukum dan syarat pertandingan yang terpaksa di tempuhi selama ini.

Aku masih menanti gerakan pihak lawan untuk memastikan pergerakan taktikalnya dapat dibaca selepas ini. Adakah masih mengunakan taktikal sama untuk memerangkap lawan yang lebih bersedia ? Lawan sudah mengkaji kekuatan sedia ada sambil bantuan 'Bishops' adalah senjata terbaik sebelum ini. Jika Queens adalah kekuatan asas yang ditunjangi selama ini akan dijadikan modal untuk rekod kali ke 3. Sudah pasti dia bakal mengorbankan kesemua Pawns yang ada sambil membuat pilihan kepada Knights atau Rooks.

Keadaan semasa jika diperhatikan bahawa Kings agak terdesak apabila cubaan pihak lawan memerangkapnya dengan taktikal mengepung Queens dan Rooks. Mujurlah Bishops terakhir sanggup berkorban demi kesetiaan kepada Kings yang berkuasa. Ketika dia makin kekurangan pergerakan dan terpaksa berhempas pulas memenangi perlawanan kali ini . Pihak lawan pula sedang mengatur taktikal terakhir untuk dia membuat pilihan mengorbankan Queens yang patuh setia atau membiarkan Rooks dan Knights bakal menderita selamanya.


Pengaruh kuat dengan cara memonopoli Bishops sudah lama terhasil, taat setia anak buah ini sedia berkhidmat untuk memastikan Kings terus nyenyak di bantal empuknya. Masa berlalu semakin pantas turut menuntut dia membuat pilihan dengan lebih cepat selepas ini. Lawan sudah berkali-kali menguji langkah check biasa bagi mengukur kemampuan dia selama ini. Kesilapan terbesar dengan membuat 'castling' pada permulaan permainan di sanggah kuat pengemarnya yang tegar setia.

Semoga dia tidak lupa jasa sekecil Pawns tetap bermakna sebagai barisan depan yang mengorak langkah pertama di permulaan permainan. Aku masih sabar menanti detik-detik terbaik untuk melihat kebijaksanaannya mematikan langkah pihak lawan. Kings adalah nadi terakhir sebelum bendera putih di kibarkan buat pertama kalinya. Jika Queens tidak menongkah arus tanpa pergerakan halus Knights terakhirnya . Kemenangan bakal di tentukan dalam pusingan 15 langkah terakhir.



Permainan yang cukup menarik bakal disaksikan kali ni dengan percaturan serentak Pawns , Bishops dan Queens bagi memerangkap lawan dengan 2 pusingan yang masih berbaki di tangan.


Andai dikalahkan dengan taktikal checkmate pihak lawan , dia belum sesuai untuk dijulang sebagai pemain terbaik permainan ini kerana bekas Juara cukup janggal dikalahkan dengan taktikal sebegini.



nota : entry ini hanyalah imiginasi penulis semata-mata . Harap Maklum

Sunday, May 3, 2009

SAMA ATAU SERUPA


Liga sudah memasuki ke pertengahannya musim apabila kesemua pasukan sudah memasuki perlawanan ke 13 semalam. Perlis masih menguasai carta liga walaupun tiada perbezaan mata yang begitu ketara antara 5 pasukan pencabar utama.

Jika di awal musim baru-baru ini, FAM dengan nada angkuh menyatakan bahawa ada peningkatan daripada pemain-pemain tempatan melalui statistik jaringan gol setiap pasukan. Bagaimana kualiti sesuatu perlawanan dapat di nilai dengan jumlah jaringan sahaja sambil mengabaikan aspek kualiti persembahan.

Musim serba kebosanan bagi semua perlawanan liga yang berlangsung ketika ini samada di Liga Super dan Liga Perdana musim ini. Dakwaan ini bukan sebarangan kerana rata-rata peminat bersependapat demikian melalui rentetan perlawanan demi perlawanan yang dipertontonkan. Final Piala FA minggu lepas adalah bukti ketara bahawa persembahan perlawanan akhir tiada aura kemuncaknya.

Pentas akhir yang dimonopoli pasukan terkuat di sajikan dengan taktikal yang cukup memualkan kepada peminat bolasepak tempatan. Tiada persembahan kreatif samada kawalan bola, rentak perlawanan mahupun taktikal kedua-dua pasukan. Penyakit cemuih ini mula merebak ke seluruh pasukan lain apabila menyajikan bolasepak taraf perlawanan Liga Kampung sahaja.

Komen dan teguran negatif laman sembang bolasepak penyokong negeri lain juga sebegitu. Mereka tidak terasa terhibur walaupun pasukan yang disokong mencipta kemenangan. Adakah ini sahaja taraf Liga Super yang dibanggakan FAM saban hari. Jika di Liga sendiri masih di takuk lama, bagaimanakah mereka ingin menyahut cabaran pasukan sehebat Manchester United pada July nanti.

Peminat tempatan sudah lama menanti kebangkitan dalam pasukan kebangsaan Malaysia tetapi FAM tetap berundur ke belakang setapak demi setapak. Minat penyokong kian hilang dengan taraf hiburan bolasepak amatur Liga Malaysia. Tidak adil jika persembahan pasukan elit Eropah di buat perbandingan utama tetapi penilaian minimum juga tidak mencapai standard sebenar kualiti bolasepak Malaysia.

Musim 2009 bolehlah disifatkan sebagai musim percubaan FAM untuk menyemak semula struktur bolasepak Malaysia. Wang tetap dibelanjakan saban tahun untuk pembangunan bolasepak tetapi masa tetap berlalu bergitu sahaja. Siapa pun pemenangnya hujung musim nanti , mereka bukan di kalangan terbaik diantaranya kerana faktor semasa penentu kejuaaran yang kian tiada makna.

Hati kecil peminat tidak terusik jua jika anugerah pasukan terbaik di calonkan kepada pelawak-pelawak Liga Malaysia kerana populariti bukan ukuran sebenar kemampuan dan kualiti seni bolasepak khususnya. Mudahnya mereka menyepak bola tanpa asas dan perkembangan bolasepak semasa.

Melodi sokongan terhenti seketika , persalahkan mereka sebelum menuding jari kepada kita. Liga masih yang sama atau watak yang tidak lagi serupa , dimana perbezaan yang dicari Si Tongga ?