Saturday, February 28, 2009
KUOTA PEMAIN U20 ???? APA FAEDAHNYA
'' Terima kasih atas feed back saudara. akan saya ambil perhatian. saya pun sudah lama pening dengan FAM....peraturan entah apa, tidak konsisten....sangat sedih melihat bola sepak negara di pentas antarabangsa sekarang. semuanya berpunca dengan progam pembangunan yang menemui kegagalan setiap tahun. dulu semasa forum dengan fam, saya antara panelnya, pernah menyuarakan tentang kejayaan program pembangunan bola sepak di kedah dan saya menyarankan agar formula yang digunakan kedah itu diguna pakai tetapi, sampai sekarang, fam tidak melaksanakannya. terima kasih sekali lagi atas feed back saudara dan akan saya jadikan bahan ini untuk terus serang fam. ''
Apa kata anda ???
Friday, February 27, 2009
MARLON Interview Session
26 Feb 2009 - Thursday
oleh : Hokage Ke 7
Temubual bersama Marlon Alex James yang ketika ini bersama Vancouver Whitecaps , Canada
Apa yang anda lakukan sepanjang 4 bulan lepas ??
Selepas tamat liga Malaysia pada September tahun lalu , saya menghabiskan masa bersama keluarga terutama anak kesayangan Malaya Jamaira James yang ditinggalkan begitu lama sejak Oktober 2007. Saya menghabiskan masa dengan bercuti di Florida, US selama 2 bulan bersama-sama seluruh ahli keluarga. Selain itu saya membantu akademi bolasepak Belia Bequia dalam siri perlawanan peringkat remaja untuk tahun 2009 ini.
Bagaimana dengan persiapan anda bersama pasukan baru ??
Selepas menandatangi kontrak pasukan ini pada 23 December 2008 lalu dengan kontrak tawaran selama 2 musim 2009 dan 2010. Saya mula menyertai latihan bersama pasukan pada 21 Jan lalu ketika musim sejuk di sini masih lagi berlaku. Latihan pasukan di Ambleside Park East setiap hari bermula seawal 10.00 pagi sehingga 11.45 pagi.
Pada ketika ini kami dalam rangka perlawanan pra-musim sebelum sepak mula pertama berlangsung pada 11 April nanti. Pada awal March nanti pasukan akan menjelajah benua afrika ( Tanzania ) untuk sessi perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkemuka di sana. Pemilihan benua Afrika bersempena sebagai tuan rumah Piala Dunia 2010 yang bakal berlangsung di Afrika Selatan kelak. Pengurusan mengatur 8 sessi perlawanan pemanas badan dengan bertemu kelab-kelab terkemuka di sana dan pasukan kebangsaan Tanzania sendiri. Menurut rakan sepasukan, inilah kunjungan pertama Whitecaps menjelajah keluar negara selain terutama ke benua Afrika.
Rutin harian bersama Vancouver Whitecaps ketika ini ??
Selain daripada menjalani latihan setiap hari , pasukan terlibat dalam aktiviti-aktiviti komuniti kawasan untuk membantu remaja sekitar Canda dalam sukan tempatan dan bolasepak setempat. Ketika ini saya hanya keseorangan tanpa ahli keluarga yang masih tinggal di Saint Vincent. Anak yang semakin membesar di jaga sepenuhnya oleh isteri dan ibu saya. Kemungkinan mereka ( ahli keluaraga) akan bersama saya menjelang musim panas nanti. Rakan senegera sedikit sebanyak membantu saya menyesuaikan diri di sini setelah dia telah bersama pasukan Whitecaps musim lalu. Dia ( Wesley Charles ) adalah rakan saya ketika dalam pasukan Kebangsaan Saint Vincent & Grenadies yang bermain diposisi pertahanan sama seperti Cornelius Bernard Huggins.
Apakah harapan anda bermain di Liga USL ( United Soccer League ) ??
Saingan di sini tidak sepertimana saya bermain di Kedah Fa musim lalu, saya perlu mengekalkan kosistasi setiap hari untuk merebut kesebelasan utama. Kami bakal menghadapi perlawanan kompetetif sehingga penghujung September 2009 nanti. Whitecaps juga merupakan juara musim lalu dalam saingan liga USL Divisyen Pertama 2008. Komitmen saya adalah mengekalkan kejuaraan pasukan ini sepertimana musim lalu. Whitecaps juga turut berpeluang bermain dalam Nutrilite Canadian Championship untuk merebut peluang bermain dalam CONCACAF Champion League 2009-10.
Selaku pemain professional, apakah perbezaan ketara antara Liga USL dan Liga Malaysia ??
Terlalu berbeza sekali, samada kemudahan infrasruktur dan program latihan pasukan. Disini pemain dikawal sepenuhnya oleh kelab demi memastikan kami sentiasa cergas sepanjang musim. Walaupun Liga disini adalah pilihan kedua berbanding MLS di US, saingan tetap menarik bersama-sama pasukan dari US Mexico dan Puerto Rico. Pasukan Whitecaps sedang berusaha untuk mendapatkan tempat bermain dalam liga MLS selepas ini. Liga Malaysia hanya melibatkan pasukan negeri masing-masing tetapi disini semua pasukan di jajahan Amerika bermain dalam satu liga utama. Terdapat 11 pasukan utama bermain dalam liga ini yang terdiri dari 8 pasukan US, 2 pasukan Canada dan 1 pasukan dari Puerto Rico. USL adalah liga kedua selepas MLS yang mengumpulkan pasukan-pasukan dari Utara United States sebenarnya .
Jika berpeluang kembali ke Liga Malaysia , adakah anda berminat semula selepas ini ?
Sudah pasti tetapi faktor usia mungkin menjadi penghalang karier saya untuk kembali ke Liga Malaysia. Saya merindui suasana dan panorama peminat-peminat bolasepak negeri Kedah yang menghormati saya sebagai pemain mereka. Ianya adalah detik indah saya bersama Kedah Fa selain membantu mencipta kejuaaran berganda. Saya juga terkenangkan rakan-rakan pemain yang sentiasa membantu perkembangan karier saya sebagai pemain bolasepak professional.
Adakah anda masih mengikuti perkembangan bolasepak Malaysia ??
Ya sudah pasti. Perbezaan waktu disini tidak membataskan saya mengikuti perkembangan bolasepak Malaysia melalui pembacaan di laman web dan berita-berita semasa yang dikirimkan oleh bekas rakan pemain di Kedah FA. Adakah Kedah Fa mampu mengekalkan kejuaaran musim baru ??
Apa nasihat anda kepada pemain-pemain Kedah FA ketika ini ?
Bermainlah sebagai satu unit pasukan dan bertindak sebagai secara professional terutama pemain-pemain muda Kedah Fa. Mereka berpeluang pergi lebih jauh sebagai pemain bolasepak professional andai benar-benar berusaha gigih. Pemain Kedah Fa bertuah mendapat tunjuk ajar dari barisan kejurulatihan yang berjiwa kental untuk membantu perkembangan bolasepak Kedah FA.
Apa kata akhir anda untuk peminat bolasepak Malaysia khususnya penyokong Kedah FA??
Semoga peminat bolasepak kedah terus menyokong pasukan anda kerana pemain Kedah Fa mampu melangkah jauh selepas ini. Tanpa sokongan anda terhadap bolasepak , sukan ini tidak mampu berkembang baik seperti saingan liga di luar sana.
Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa untuk bersama, semoga anda berjaya di USL kelak
Tiada masalah, anda juga sebahagian daripada kemuncak kejayaan karier saya sebagai pemain bolasepak sebenarnya.
BADI PENUMPANG ????
Perlawanan ke 8 untuk misi memungut mata yang ke 13 semakin sukar setelah dipalit kedukaan gagal layak ke suku akhir setelah merangkul kejuaraan berganda.
( Final FA 2008 )
Ketika ini kata-kata itu semakin dilupakan sebaliknya sindiran sinis makin kuat kedengaran saban hari. Fakta sukar untuk dinafikan dengan tohmahan demi tohmahan tanpa bukti nyata. Melupa-kan detik itu tidak mudah seperti memadam tulisan di papan hitam. Sejuta alasan sekalipun tidak mampu mengubah kegagalan KEDAH meneruskan saingan dalam suku akhir Piala Fa 2009.
Tumpuan ketika ini terarah kepada saigan Liga Super yang diharapkan mampu mengubat kedukaan ribuan peminat jugak bukanlah jaminat terbaik dari pemain. Perbezaan 8 mata dengan persaing Kelantan adalah buruan suntikan keramat buat pemain-pemain hijau kuning bangkit dari memori kekalahan demi kekalahan.
Terengganu pasukan yang mampu menewaskan Kedah pada musim lalu juga ketika ini masih lagi tercari-cari rentak kemenangan sempurna. Barisan pemain mereka tiada bezanya dengan Kedah melainkan pengendali terbilang Ken Worden di petaruhkan untuk membentuk taktikal mereka. Terengganu yang di anggap pesaing serba tempatan jugak kini dalam dilema mencari rentak.
Kedah pasti memburu kemenangan ke 4 malam sabtu ini bersandarkan sejuta harapan baru dari peminat-peminat tempatan. Kebangkitan Kenari musim ini agak perlahan untuk kekal berdiri sama tinggi, terbang sama bebas di kemuncak awan. Simpati penyokong terus ditagih setiap perlawanan demi perlawanan sebagai pembakar semangat anak-anak Kedah meneruskan kancah bolasepak tempatan.
Kedah masih lagi tercari-cari kombinasi terbaik musim ini ??? Janggal dan pelik untuk diperkatakan orang luar berpandukan senarai panjang pemain sedia ada adalah pemain musim lalu yang kaya dengan seribu pengalaman berharga. Adakah kemasukan pemain baru menimbulkan prasangka buruk dalam pasukan. Kedatangan mereka diperlukan untuk menguatkan posisi yang ditinggalkan lagenda tak terbilang Kedah sebelum ini. Walaupun mereka bukannya mutiara di pasukan sendiri , tetapi mampu digilap sinarnya bersama Kenari. Adakah mereka benar-benar mutiara atau kaca diseliputi warna kilauan bak permata ?????
Ketempangan ini gagal di tampung mereka sehingga kini ,segalanya terpaksa bergantung kepada kudrat sendiri untuk mengembalikan maruah kesayangan bumi bernama Jelapang Padi. . Bukan sekali sebelum ini , deretan penumpang yang membarisi skuad 2007 mencipta kejayaan bersama anak-anak jati sebelum ini. Buktikanlah anak-anak KEDAH dengan kerelaan sendiri tanpa simpati mereka yang gagal mengungkap istilah ' Pulun Kedah Pulun ' di hati sanubari mereka.
Mereka bukan BADI , tetapi mereka juga bukan penumpang yang meraih simpati .Mereka cuma pemain yang belum menyelami isi hati luhurnya Hijau Kuning Jelapang Padi .
Penghormatan buat Juara , Sanjungan Buat Wira
Kedah satu-satunya pasukan yang telah memenangi ketiga-tiga piala tersebut menjadi pilihan utama kejohanan musim ini. Sejarah telah berjaya di ukir dengan memenangi secara 2 tahun berturut-turutpada 2006/07 dan 2007/08. Ironinya Kedah memenangi piala Liga Super dalam format 13 pasukan walaupun diperkenalkan pada tahun 2004 dengan format 8 pasukan. Piala FA dipertahankan musim berikutnya dengan semangat juang anak muda tanpa dibayangi kelibat 2 tonggak import utama Corniliues Bernad Huggin dan Marlon Alex James. Piala Malaysia lambang supermasi bolasepak Malaysia di julang bagi membuktikan KEDAH adalah jagoan tempatan sambil menafikan hajat Perak dan Selangor tidak kesampaian. Ini adalah episod lalu yang bakal dikenang penyokong tempatan bumi bertuah Hijau Kuning.
Musim baru serba tempatan mengamit aksi kejohanan yang berbeza pada saingan kali ini. Apabila melihat senarai penuh 25 pemain Kedah, sudah pasti tidak memperlihatkan masalah besar untuk menyahut seruan pasukan lain . Kelemahan mungkin gagal dikesan bagi pasukan lawan sambil bernada Kedah hebat di tunjangi import berkualiti. Kelemahan dan kelebihan ketara yang dikesan oleh penyokong kampong seperti kami hanyalah 3 faktor utama :
-Sentuhan Pokka
Kedah tidak mempunyai masalah besar dibahagian jentera serangan musim ini apabila Farizal Rozali dan Azrul Ahmad menjadi calon sesuai mengantikan 'the scoring machine' musim lalu. Kekuatan Kedah tidak bergantung kepada penyerang utama semata-mata untuk merobek gawang pihak lawan. Masih terdapat Khyril Muhaimeen , Badrul Bakhtiar , Fazly Baharum mahupun Fauzi Shaari sendiri mampu menjalankan tugas mencari gol buat pasukan. Kepercayaan tinggi juga perlu di berikan kepada Nazmi Baharum dan Faizal Abu Bakar untuk mengukir nama senarai penjaring pasukan Kedah. Bagaimana ianya di jaringkan tidak pernah dipersoalkan penyokong setia , asalkan bola menerjah jaring pihak lawan. Itulah realiti sebenar pasukan Kedah musim lalu dengan rekod jaringan tertinggi tercipta.
- Voice Power
Saya menyebutkan sebagai 'voice power ' kerana inilah yang diperlukan Kedah musim ini jika ingin kelihatan lebih garang di padang ketika menentang pihak lawan. Ketiadaan jeneral padang bukan lagi persoalan pokok untuk menampung kelemahan ini. Wahai pejuang Kenari, bersuaralah dipadang supaya komunikasi anda lebih jelas dan teratur. Adakah tanggungjawab ini dipikul Victor Adraq semata-mata yang memakai lilitan ketua pasukan. Tanpa voice power agak sukar bagi kita mengharungi liga panjang musim ini. Segala ilmu taktikal telah pun diperturunkan barisan kejurulatihan Kenari, giliran anda untuk menterjemahkan apa yang di pelajari sebelum ini. Tanpa suara ibarat pasukan bermain tanpa penyokong. Fauzi Saari , Sharulnizam Mustafa mahupun Sabree Abu perlu lebih kuat bersuara untuk menyedarkan rakan sepasukan dalam situasi menyerang mahupun berundur mempertahankan benteng pasukan. Jika sebelum ini suara besar Outlaw sering terdengar memanggil rakan lain untuk turun membantu dibahagian pertahanan dan teguran kepada rakan-rakan. Begitu jugalah leteran Marlon di barisan hadapan untuk menerima hantaran bola tinggi mengikut taktikal yang dipelajari sebelum ini. Ketepikan rasa rendah diri sesama rakan demi membentuk persefahaman jitu di dalam padang.
- Collaboration 25 player
Disinilah segala kelebihan dan kekurangan pasukan musim ini. Pasukan Hijau Kuning a.k.a Kenari tiada istilah 'kesebelasan utama ' . Bukan janggal tetapi inilah kekuatan yang menjadi nadi dan tunjang kejaguhan Hijau Kuning setiap kali beraksi. Jika pengendali agak runsing memikirkan siapa yang lebih layak memikul tugas utama . begitu jugalah penyokong yang kecundang meneka kesebelasan utama pasukan setiap kali wisel sepak mula ditiupkan. 3 posisi asas seringkali berubah mengikut rentak dan corak taktikal pasukan untuk mengelirukan pasukan lawan. Hanya posisi penjaga gawang terakhir menjamin tempat selamat buat Helmi Eliza berdasarkan prestasi setiap perlawanan musim lalu. Sumbangan Abdul Hadi dan Al-Hafiz tidak pernah diperkecilkan sama sekali.
Pertahanan Kedah adalah terbaik dengan rangkaian pemain berbeza skill dan corak permainan. Senarai regular di isi Victor Adraq, V Thirumurugam dan Shafizan Hashim. Senarai simpanan setanding adalah Fazliata Taib. Ronny Harun dan Khairul Helmi. Pemain pelapis Rozaidi Abdul Rahim juga tidak gentar untuk diturunkan setiap masa. Kemasukan pemain baru Mohd Afif Amiruddin menambah daya kekuatan Kedah musim ini apabila ketinggiannya menjadi aset utama pasukan. Kelemahan tetap muncul disebalik senarai pemain pertahanan ini tetapi bukan itu yang amat merisaukan.
Disini jugalah kekusutan bagi pasukan iaitu posisi pemain midfield Kedah dan senarai panjang pemain sayap kiri dan kanan. Perebutan pemain tengah hanya dikongsi Fauzi Shaari, Sabree Abu dan kemasukan Shahrulnizam Mustapa. Pilihan terakhir andai berlaku kecederaan mampu dipikul Rafiz Abu Bakar untuk mengisi posisi yang ditinggalkan mereka. Ketiga-tiganya berbeza gaya permainan tetapi mampu memikul tugas dengan sempurna. Masalah utama adalah posisi sayap untuk melengkapkan serangan pasukan Kedah akan datang. Siapa pilihan utama ??? Badrul Bakhtiar, Khyril Muhaimeen, Fadly Baharum sambil Nazmi Baharum dan Faizal Abu Bakar merebut posisi pemain wajib kesebelasan utama pasukan akibat penetapan FAM memerlukan pemain dibawah umur 20 tahun beraksi sepanjang 90 minit permainan.
Pilihan rangkaian serangan sudah pasti Farizal Rozali dan Azrul Ahmad menjadi pilihan utama untuk menggempur gawang pihak lawan. Saramsak Kram dan Shafiq Jamal adalah penyerang sokongan yang berperanan untuk mengubah corak permainan Kedah jika dalam situasi bertahan di amalkan. Kelibat adik kepada Saramsak iaitu Manopsak Kram memberi lebih pilihan kepada pengendali pasukan. Pelapis yang tidak pernah ketandusan bagi posisi penyerang di kem hijau kuning.
Persoalan untuk merungkai masalah pilihan terbaik hanyalah mengubah sistem taktikal sedia ada walaupun kita tetap mengamalkan permainan sistem 4-4-2.
Posisi :
Penjaga Gol : Helmi Eliza tetap menjadi pilihan utama berdasarkan prestasi terkini dan rekod terbaik musim lalu.
Pertahanan : Victor Adraq sudah pasti diperlukan bersama V Thirumurugam. Hanya Afif perlu bersaing bersama Fazliata Taib manakala Ronny Harun bersama Shafizan Hashim. Maka pilihan ( Thiru : Victor : Afif : Shafizan ) atau ( Thiru : Victor : Fazliata : Ronny ) masih boleh mengubah posisi thiru dan Victor jika prestasi Fazliata dan Ronny lebih baik. Rozaidi dan Khairul Helmi adalah pemain sokongan yang diperlukan jika kecederaan panjang menghantui senarai 5 pemain regular.
Tengah : Jika Shahrulnizam pilihan utama . Fauzi Shaari perlu mengerah kudrat sepenuhnya di babak pertama supaya Sabree Abu bakal menampung kekurangan dan keletihan separuh masa kedua. Corak Shahrulnizam perlu kearah posisi attacking berbanding Sabree dan Fauzi Shaari bermain defensive.
Sayap Kiri dan Kanan : Posisi paling merumitkan kerana tunjang kekuatan KEDAH adalah menyerang dengan rangkaian flyker kiri dan kanan. Jika Badrul dimasukkan sayap kanan lebih teratur sambil kiri ditampung Nazmi atau Monapsak Kram. Peluang untuk Fadly dan Kyril merebut posisi sayap kiri agak terhad apabila FAM menetapkan syarat pemain bawah 20 tahun. Maka hanya pilihan sayap kanan akan bertukar antara Badrul Bakhtiar , Fadly Baharum dan Khyril Muhaimeen.
Penyerang : Farizal Rozali adalah pilihan utama sebagai target man berbanding Azrul di posisi penyerang. Gandigan mereka hanya memerlukan kesesuaian yang berpanjangan untuk membentuk kombinasi terbaik. Kedua-dua mempunyai aset larian pantas dan sepakan deras yang sempurna. Kelebihan bola tinggi untuk tandukan mungkin diperkemaskan untuk mencari kelebihan sepakan sudut dan sepakan percuma jarak jauh. Khyril Muhaimeen mampu membentuk rangkaian 3 penyerang tetapi Kedah terpaksa mengorbankan sayap kanan untuk memasukkan beliau di jentera hadapan.
Maka pilihan utama kesebelasan Kedah sukar untuk diramal :
Al Hafiz
Abdul Hadi
Shafiq Jamal
Rafiz Abu Bakar
Saramsak Kram
Manopsak Kram
Khairul Helmi Johari
Mohd Rozaidi Abdul Rahim
* Artitkel ini hanyalah sebahagian luahan pandangan sambil berkongsi idea-idea penyokong kampung yang cintakan pasukan Hijau Kuning. Biar 'kita' asalnya Kampung tapi kualitinya dipentas Asia dan Dunia
HIJAU KUNING: KUASA BARU BOLASEPAK TEMPATAN
Sebelum muncul kejayaan gemilang seperti mana yang dinikmati sekarang, pasukan Kedah hanya mampu berbangga dengan kegemilangan pasukan ini di era lewat '80an dan awal '90an. Namun entah dimana silapnya, pasukan Kedah selepas itu gagal bersaing hebat di Liga Domestik lantas kembali meletakkan pasukan Kedah sebagai pasukan belasahan bukannya sebagai pasukan yang digeruni. Pasukan Hijau Kuning menampakkan kebangkitan semula apabila bermulanya musim 2002 apabila muncul menjadi Juara Liga Perdana 2. Nama-nama seperti Rafdi Rashid, Madzlan Wahid, Fauzi Nan, Shariman Che Omar, Amirul Nizam, Shawal Johadi dan Fakhzan Salleh sebenarnya yang mengembalikan kehebatan pasukan Kedah pada musim itu. Seterusnya bersaing di Liga Perdana Satu, Kedah memberi bersaing dengan cukup sengit dan berjaya menjadi Naib Juara Liga Perdana Satu selepas Perak lebih bernasib baik apabila ditabalkan sebagai juara.
Tahun 2004 adalah musim yang tidak akan dilupakan peminat. Pada tahun inilah dikatakan tahun gelap bagi bolasepak Kedah. Liga Super yang baru diperkenalkan pada musim itu ditamatkan saingannya di tempat yang terakhir. Di saat itu, banyak pihak menganggap inilah penamatnya kebangkitan pasukan Kedah selepas merangkak naik pada musim 2002 dan 2003. Di atas kesedaran dengan situasi semasa, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bertindak bijak dengan menyingkirkan jurulatih asing dari Brazil pada ketika itu iaitu Francisco Ernandi Lima Da Silva atau lebih dikenali dengan nama Mirandinha. Lalu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mewujudkan pengurusan pasukan baru yang diketuai oleh Allahyarham Dato Paduka Ahmad Basri Akil. Maka selepas itu hadirlah bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Khor Sek Leng atau Azraai Khor Abdullah sebagai ketua jurulatih menggantikan Mirandinha. Beliau dibantu oleh dua bekas bintang pasukan Kedah, Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail. Apa yang jelas, sentuhan Allahyarham Dato Paduka Ahmad Basri Akil amat memberi kesan yang positif kepada bolasepak Kedah. Maka sesuailah gelaran Bapa Bolasepak Kedah diberikan kepadanya.
Walaupun tewas di perlawanan akhir Piala Malaysia 2004, namun kejayaan melayakkan diri ke peringkat akhir pada musim itu adalah sesuatu yang menakjubkan. Tiada sesiapa pun yang menyangka bahawa Kedah mampu ke perlawanan akhir selepas berada di tangga terakhir di Liga Super pada musim yang sama. Namun hasil keazaman dan usaha yang gigih daripada pengurusan baru ini telah memberi nafas dan semangat baru kepada pemain-pemain untuk menunjukkan watak Sang Kenari yang sebenar. Pengurusan Pasukan yang terbentuk ini terus membuat perancangan bagi meningkat mutu bolasepak negeri Kedah. Tindakan mereka untuk menggabungkan sesi latihan skuad Piala Presiden dan skuad Liga Super amat berkesan. Hasil daripada usaha inilah lahirnya pemain-pemain berbakat sekarang seperti Khyril Muhymeen, Baddrul Bakhtiar, Sabre Abu, Fazliata Taib, Nidzam Mansor, Khairul Helmi, Shakir Ali dan ramai lagi.
Perancangan yang dilakukan adalah perancangan yang cukup teliti. Di saat itu, perancangan yang dilaksanakan itu dijangka akan membuahkan hasilnya pada 2008 sempena dengan sambutan Jubli Emas KDYMM Sultan Kedah. Namun jangkaan itu meleset, hasil yang diperolehi bukannya pada 2008, tetapi pada 2006/2007. Pasukan Kedah berjaya mencatat pasukan pertama merangkul tiga kejuaraan utama di satu musim. Ianya hampir menyamai rekod yang dirangkul oleh pasukan Selangor pada 2005, namun perbezaannya adalah Selangor menjadi Juara Liga Perdana pada musim itu manakala Kedah berjaya menjadi Juara Liga Super.
Pada musim 2007/2008 ini pasukan Kedah dikatakan menggalas cabaran yang lebih berat berbanding musim yang sebelumnya. Masakan tidak, pada musim ini Kedah tampil sebagai juara bertahan tiga piala utama tempatan. Apa yang pasti, mempertahankan kejuaraan adalah sesuatu yang lebih sukar berbanding dengan merampas kejuaraan. Namun cabaran yang dikatakan berat itu hampir terlaksana. Piala Liga Super dan Piala FA sudahpun dipastikan untuk kekal berada di bumi Jelapang Padi. Hanya yang tinggal adalah Piala Malaysia. Pastinya Azraai, Radhi dan Ahmad Sobri akan memastikan bahawa tidak mudah untuk Piala Malaysia ini dirampas oleh pasukan lain.
Di pentas Asia, pasukan Kedah berjaya melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala AFC. Saingan peringkat suku akhir dijadualkan pada September ini bertemu pasukan dari Bahrain, Muharraq FC. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa pasukan Kedah yang kita cintai ini turut disenaraikan didalam ranking pasukan-pasukan kelab dan negeri seluruh dunia. Kedudukan terkini pasukan Kedah adalah pada kedudukan 111. Seharusnya kejayaan manis dan gemilang ini menjadi kebanggaan kepada setiap rakyat negeri Kedah. Jelas sekali bahawa kejayaan dan kegemilangan yang dikecapi sekarang adalah lebih manis jika ingin dibandingkan dengan apa yang pernah dicatat di musim 80an dan 90an lalu.
Namun dalam kegirangan kita meraikan kejayaan Kedah, pemergian Dato Paduka Ahmad Basri Akil pada Julai lalu amat memberi kesan. Pemergian beliau ke rahmatullah disaat sambutan Jubli Emas KDYMM Sultan Kedah yang amat beliau nantikan dan raikan. Apa yang pasti, ketiadaan insan yang digelar Bapa Bolasepak Kedah ini tiada galang gantinya. Apa yang ditinggalkan oleh beliau adalah kegemilangan bolasepak Kedah di dua era yang berbeza. Dalam kegembiraan dan keghairahan kita meraikan kejayaan pasukan Kedah sekarang, ingatlah bahawa jika tiada insan yang bernama Ahmad Basri Akil ini, mungkin kita tidak akan merasainya. Antara ungkapan beliau yang menjadi pembakar semangat adalah "membujur lalu melintang patah, membelah dinding jika di arah".
Buat seluruh penyokong dan peminat pasukan Kedah Darul Aman. Teruskanlah memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan kita. Sesungguhnya sokongan yang diberikan oleh kita semua juga turut memberi sumbangan pada kejayaan pasukan Kedah Darul Aman. Kitalah pemain ke-12.

